Followers

Thursday, 10 January 2013

Berita Hari Ini

sumber: harian metro online
70 terpedaya ajaran sesat Panji Langit


BANDARAYA MELAKA – Seorang bomoh yang mengaku dirinya perantara malaikat Jibrail berjaya memperdaya 70 pesakit yang datang berubat dengan mengikuti ajaran sesat dikenali sebagai Panji Langit.
Bomoh berusia 46 tahun yang juga mendakwa dia boleh mentafsir dosa pesakitnya itu dikatakan turut berjaya mempengaruhi seorang imam di Melaka Tengah untuk menjadi pengikutnya sejak penyebaran ajaran itu setahun lalu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Rahimin Bani berkata, sejak mendapat maklumat berkenaan perkara tersebut, pihaknya telah mula memantau kegiatan lelaki yang berasal dari Muar, Johor itu.
“Ajaran Panji Langit difatwakan sebagai ajaran sesat pada 4 Disember tahun lalu selepas dibawa ke Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka.
“Ajaran dibawa bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu mengaku sebagai perantara kepada malaikat Jibrail, selain berupaya mentafsir dosa-dosa pesakitnya,” katanya.
Rahimin berkata, pengikut ajaran Panji Langit juga diminta beriman kepadanya selain mengaku dirinya sebagai utusan untuk menghapuskan dajal dan juga pemegang takbir pembinasa dajal.
“Dia yang mengaku dirinya sempurna, mendakwa imam dan ustaz sedia ada tidak boleh dipercayai dan meminta pengikutnya supaya beriman kepadanya.
“Dia juga mengaku sebagai peringatan terakhir kepada alam ini dan hari kiamat berlaku pada 21 Disember 2012,” katanya.
Pengikut sanggup serah harta benda
Menurutnya, akibat terlalu taksub, terdapat beberapa pengikut sanggup menyerahkan harta benda dan wang selepas diminta bersumpah setia.
“Kebanyakan pengikut sangat taksub, malah ada yang sanggup serah kereta mewah, wang dan barang kemas kepada bomoh ini,” katanya.
Beliau berkata, lelaki yang pernah menyebarkan ajarannya di Tengkera, Melaka Tengah sebelum meluaskannya ke Chabau, Jasin ini juga mendakwa dirinya boleh berhujah dengan makhluk halus dan iblis.
“Dalam blog yang diwujudkannya sebagai usaha menghebahkan ajaran itu, turut memaklumkan dia mampu mengubat mereka yang diganggu makhluk halus dan iblis,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai tangkapan lelaki berkenaan oleh polis, Rahimin berkata, pihaknya bercadang menangkap bomoh berkenaan, namun perlu memohon waran terlebih dahulu.
“Bagaimanapun, pihak polis terlebih dahulu menangkap lelaki yang juga pernah mengajar pengikutnya memanah ini apabila mendapati dia mempunyai senjata-senjata berbahaya.
“Buat masa ini, lelaki ini masih dalam tahanan reman pihak polis dan pihak Jaim kemudian akan mendakwanya pula di Mahkamah Syariah kerana melanggar Seksyen 60 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu menyebar ajaran bertentangan hukum syarak,” katanya.
Justeru, Rahimin menyarankan supaya pengikut ajaran Panji Langit segera bertaubat selain menghubungi Jaim untuk diambil keterangan.
Tak campur dengan masyarakat kampung
Sikap pemilik banglo yang tidak bercampur dengan masyarakat sekeliling, akhirnya membongkar kisah tidak disangka.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Chabau, Jasin, Abu Supian Abu Samah berkata, banglo yang telah wujud sejak lima tahun lalu itu sering kali menimbulkan persoalan kerana banyak kenderaan yang datang memenuhinya terutama pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad.
“Apa yang pelik, majoriti kenderaan itu bukan dari negeri ini. Saya tidak kisah jika ramai orang yang berkunjung ke rumah penduduk dalam kampung ini, kerana itu hak masing-masing.
“Namun sangat mengejutkan apabila banglo berkenaan akhirnya diserbu pihak berkuasa dan banyak senjata ditemui seolah-olah mereka terlibat dalam gerakan militan,” katanya.
Dalam pada itu, Abu Supian juga menafikan dakwaan sesetengah individu yang mengatakan mereka lambat mengambil tindakan dan tidak peka dengan apa yang berlaku sehingga pihak berkuasa membuat serbuan di sebuah rumah itu yang dipercayai menjadi pusat ajaran sesat.
“Kami buat aduan dan memaklumkan kepada Jaim sejak setahun lalu.
“Pernah satu ketika, seorang bekas imam masjid kampung itu yang juga orang kanan kumpulan ajaran sesat terbabit bertemu dengan saya untuk mendapatkan kelulusan mengadakan beberapa aktiviti seperti zikir.
“Saya tidak pernah keluarkan maklum balas bersetuju, malah memintanya dapatkan kelulusan daripada polis ataupun Jaim.
“Tapi ada segelintir penduduk yang salah sangka dan menuduh saya membenarkan kumpulan ajaran sesat bertapak di kampung ini,” katanya.
Menceritakan pengalamannya, Abu Supian berkata, beliau pernah dijemput menjayakan aktiviti ibadah korban yang dianjurkan kumpulan itu tanpa mengesyaki perkara mencurigakan.
“Ibadah korban yang dilaksanakan sama sahaja seperti yang dituntut agama.
“Dalam majlis itu, saya sempat bersalaman dengan individu yang didakwa ketua kumpulan itu, namun kami tidak bercakap dan itulah kali terakhir saya bertemu dengannya,” katanya.
Banyak kenderaan mewah, tirai warna krim jadi tanda tanya
Sementara itu, seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, sebelum ini, rumah bekas imam masjid yang hanya terletak beberapa kilometer dari banglo kepunyaan ketua kumpulan terbabit dijadikan tempat pertemuan dengan ahli-ahlinya, namun kemudian beralih ke rumahnya sendiri.
“Orang kampung tertanya-tanya apa yang berlaku, kerana setiap masa ada sahaja kenderaan mewah yang datang dengan nombor pendaftaran bukan dari negeri ini.
“Apa yang saya tahu, bekas imam masjid itu merupakan orang kanan kepada ketua kumpulan tersebut. Namun saya sendiri tidak pernah berjumpa dengan individu terbabit kerana dia memang tidak bercampur dengan masyarakat dan tidak pernah kelihatan dalam mana-mana program masjid,” katanya.
Katanya, selain kenderaan yang banyak, beberapa kain tirai berwarna krim yang tergantung di sekeliling rumah bekas imam itu turut menjadi tanda tanya.
“Penduduk sendiri tidak tahu ketua kumpulan itu berasal dari mana, kerana sikapnya yang tidak bergaul dengan masyarakat. Tapi yang kami tahu, individu itu berkahwin dengan isterinya yang berasal dari Chabau dan merupakan adik kepada bekas imam terbabit,” katanya.
Dalam pada itu, tinjauan semalam mendapati, pekarangan banglo berwarna coklat itu sunyi seolah-olah tidak berpenghuni.
Sinar
p/s: sama-samalah kita berdoa agar iman kita tidak terpesong dan tidak lupa jugak untuk saudara seislam......

No comments:

Post a Comment